CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, March 13, 2008

GANGGUAN EMOSI BOLEH SEBABKAN RAMBUT GUGUR

Oleh Halina Mohd Noor

KAEDAH TERKINI: Neeta menunjukkan cara mengurut kulit kepala bagi merangsang peredaran darah.
Kenal pasti punca sebelum memilih rawatan bersesuaian untuk peroleh 'mahkota' impian TEKANAN perasaan atau jiwa dikenal pasti menjadi antara punca utama masalah keguguran rambut berbanding akibat penggunaan kimia berlebihan yang banyak dijual di pasaran. Masalah keguguran rambut hasil tekanan jiwa membabitkan purata jumlah yang sama antara lelaki mahupun wanita. Insiden berkaitan keguguran rambut dengan tekanan jiwa ini kerap ditemui di kalangan pengunjung yang ingin mendapatkan pelbagai rawatan masalah rambut di pusat penjagaan rambut Neeta’s Herba, syarikat tempatan yang menyediakan khidmat memulihkan masalah rambut di dalam dan luar negara.
Peneraju Neeta’s Herba, Neeta Gosalia, berkata lebih kurang 60 peratus pelanggannya tidak kira di negara ini mahupun di luar negara mengalami keguguran rambut akibat masalah tekanan seperti runsing, tidak cukup tidur serta diet tidak seimbang. Tekanan jiwa yang dialami lazimnya tidak begitu serius seperti masalah keluarga, kemurungan atau membabitkan percintaan. Ada juga yang mengalami trauma akibat kejadian ngeri seperti kemalangan atau kematian orang tersayang. “Tekanan tanpa disedari mendorong individu melakukan tabiat pelik seperti mencabut rambut di kepala sehingga menyebabkan sebahagian besar kepala menjadi botak. Tekanan juga mendorong kepada masalah sukar tidur dan corak pemakanan tidak seimbang yang boleh mendatangkan masalah pada rambut.
“Ada pelanggan yang mengalami kemurungan akibat kematian orang tersayang dan mula mencabut rambutnya sehingga menampakkan kulit kepala tanpa disedari,” katanya. Beliau berkata, sebelum seseorang pelanggan menjalani rawatan di salun berkenaan, ahli terapi biasanya terlebih dulu mengambil latar belakang mereka seperti keturunan, hormon yang tidak seimbang atau penggunaan bahan kimia keterlaluan bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi. Seterusnya pelanggan akan diberikan rawatan bersesuaian mengikut tahap permasalahan. “Sekiranya masalah sebenar berpunca daripada tekanan jiwa, pelanggan perlu menjalani sesi kaunseling terlebih dulu kerana ia adalah akar umbi kepada kejayaan rawatan yang bakal dijalani. Jika masalah sebenar tidak diatasi, ia akan berulang walaupun kita mampu memberikan rawatan bagi menumbuhkan semula rambut. “Antara kaunseling yang diberikan ialah dengan menasihatkan pelanggan menjalani gaya hidup sihat seperti banyakkan bersenam kerana berpeluh dapat menenangkan fikiran,” katanya.
Selain bersenam, pengambilan makanan seimbang juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah berkaitan rambut. Justeru, pelanggan diberikan panduan mengenai diet sihat seperti makan lebih banyak buah-buahan dan sayuran segar. Minuman berkarbon seperti air gas dan kopi boleh memburukkan masalah rambut gugur. Minuman itu perlu dielakkan dan kalau boleh minum air kosong lebih banyak atau air yang boleh menyejukkan badan seperti barli, kacang soya atau kelapa. “Rambut yang sihat mengalami keguguran antara 30 hingga 120 helai setiap hari, tetapi jumlah ini diganti semula. Bagaimanapun, rambut yang bermasalah gugur lebih banyak daripada jumlah ini dan tidak mempunyai anak rambut sebagai gantian kepada rambut yang gugur,” katanya. Katanya keguguran rambut terutama di kalangan remaja pula adalah disebabkan penggunaan bahan kimia yang keterlaluan seperti mouse, semburan rambut mahupun pewarna. Penggunaan kimia dalam proses memutihkan rambut sebelum mewarnakannya juga adalah antara faktor menyumbang kepada struktur rambut lemah dan mudah gugur. “Rambut yang strukturnya lebih halus lebih mudah rosak akibat aktiviti mengerinting rambut dan teknik meluruskannya. Bagaimanapun, ramai remaja tidak menghiraukan kesannya demi untuk cantik dan mengikut aliran gaya rambut semasa. Mereka dinasihatkan agar mengetahui terlebih dulu keadaan rambut mereka sebelum menggunakan sebarang kimia atau teknik bagi mendapatkan gaya rambut diidamkan. “Misalnya, jika jumlah rambut mereka terlalu sedikit, sebaiknya jangan kerintingkan rambut kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan dan merosakkan rambut. Sekiranya ingin mewarnakan rambut, pastikan anda sering melakukan rawatan rambut atau segera berjumpa pakar apabila rambut kelihatan gugur terlalu banyak,” katanya. Bagi mengekalkan rambut sihat, Neeta menasihatkan agar mengamalkan menyapu minyak rambut lebih kerap dengan menggunakan minyak asli seperti minyak kelapa selain menjalani rawatan rambut secara tetap. Diet seimbang serta ketenangan jiwa juga mempengaruhi rambut lebih sihat dan bersinar. Neeta’s Herba yang baru-baru ini memenangi anugerah Jenama Terbaik hasil penggunaan herba semula jadi daripada The Brand Laureate, menawarkan rawatan masalah rambut seperti keguguran rambut, kelemumur, botak bertompok dan gatal kulit kepala. Menggunakan herba tradisional mengandungi daun pudina, cermai, herba bhrami shiikakai, kunyit, buah kurma, kayu cendana dan pati serbuk sejenis siput, produk Neeta’s Herba didatangkan dalam bentuk syampu, tonik dan minyak rambut. “Peluang untuk pulih adalah tinggi iaitu antara 70 hingga 78 peratus, tetapi ini bergantung kepada diri pelanggan sendiri. Jika mereka rajin, proses pemulihan boleh berlaku lebih cepat iaitu antara dua setengah hingga tiga bulan. Bagi kes yang lebih serius seperti trauma, mungkin memakan masa sehingga satu setengah tahun untuk membolehkan rambut tumbuh dan panjang. “Selain rawatan di pusat ini seperti menggunakan teknik urutan menggunakan alat khas untuk melancarkan peredaran darah pada kulit kepala, pelanggan juga boleh melakukannya sendiri di rumah menggunakan produk kami,” katanya. Rawatan bermula pada harga RM300 bagi masalah yang tidak begitu ketara. Manakala bagi masalah serius, harga bermula daripada RM500 hingga RM1,400. Neeta’s Herba boleh dikunjungi di Jalan Maarof, Bangsar dan cawangan di sekitar Lembah Klang. Ia turut mempunyai cawangan di luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Dubai dan Belanda. INFO: Panduan menjaga rambut
Kerap minyakkan rambut terutama menggunakan minyak asli seperti minyak kelapa.
Minum minuman sejuk seperti air barli dan kacang soya berbanding minuman bergas atau kopi.
Lakukan senaman secara tetap bagi menghilangkan tekanan.
Lakukan rawatan wap rambut bagi membuka liang untuk membolehkan rambut baru tumbuh.
Elakkan terlalu kerap mewarna rambut mahupun penggunaan produk berasaskan kimia.
Gunting rambut secara tetap bagi menggalakkan rambut tumbuh lebih lebat.

0 comments: