CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 12, 2008

SUSU IBU PENAWAR ALERGI

Oleh SITI AISHAH IBRAHIM

SI MANJA yang asyik meragam dan menangis sepanjang hari pastinya menimbulkan rasa kebimbangan si ibu.
Keadaan itu mungkin disebabkan si manja berasa tidak selesa sama ada kerana kembung perut, gatal-gatal, ruam pada kulit mahu pun hidung berair.. Gejala sebegini kebiasaannya adalah berpunca daripada alergi atau alahan.
Alergi berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘allon argon’ (to react differently) iaitu reaksi abnormal di dalam tubuh. Ia adalah keadaan di mana tubuh kanak-kanak yang hiper-sensitif kepada bahan-bahan asing yang dipanggil antigen. Sebarang antigen yang menyebabkan reaksi alergi dipanggil alergen.
Pakar Kanak-kanak di Klinik Pakar Kanak-kanak Saiful, Bangi, Selangor, Dr. Saiful Bahri Jaudin berkata, bayi atau kanak-kanak cenderung mengalami alergi sejak lahir atau ketika dalam proses tumbesarannya kerana sistem ketahanan badannya masih tidak matang seperti orang dewasa.
Keadaan ini menyebabkan tubuh si manja bertindak balas di luar kebiasaan apabila terdedah kepada bahan-bahan asing yang menjadi alergen.
“Bahan-bahan itu mungkin boleh jadi makanan seperti susu, kacang, telur, makanan laut atau mungkin juga ubat tertentu termasuk sesetengah antibiotik.
“Sesetengah kanak- kanak juga mengeluarkan reaksi melampau terhadap bahan-bahan luaran seperti debu, asap, bulu binatang, debunga, hama atau udara tercemar seperti jerebu.
“Ini dapat dilihat dalam sesetengah penyakit alergi yang melibatkan saluran pernafasan seperti asma atau lelah,” kata Dr. Saiful.
Menurut beliau lagi, reaksi imunologi (tidak tahan daya penyakit) berlaku apabila tubuh terdedah kepada molekul-molekul asing yang kemudiannya melekat kepada antibodi IgE.
Molekul-molekul ini seterusnya bercantum pada sel mast, iaitu sel yang terlibat dalam reaksi alergi yang akan merembeskan bahan-bahan menyebabkan timbulnya gejala-gejala alergi.
“Bahan-bahan reaksi alergi yang dirembeskan oleh badan adalah Histamin, prostaglandin, leucotrine dan Cytokines,” katanya.
Menurut Dr. Saiful, gejala yang paling kerap terjadi adalah ruam pada kulit dan gatal, selain tanda lebih bahaya seperti susah bernafas yang memerlukan rawatan segera.
Gejala alahan ini boleh dikenal pasti daripada hampir keseluruhan sistem di dalam badan sama ada secara umum atau spesifik. Ia termasuklah di kawasan permukaan kulit menjadi kering dan gatal-gatal, saluran pernafasan menjadi ketat dan hidung tersumbat atau bersin.
Manakala alergi pada bahagian dalaman pula seperti bengkak, pengeluaran lendir pada saluran pernafasan dan pengembangan saluran darah yang menyebabkan kawasan kulit menjadi kemerahan.
“Kebanyakan reaksi alergi boleh dianggap ringan, tetapi ada juga yang mengalami reaksi teruk sehingga boleh menyebabkan tekanan darah rendah, pitam atau pengsan dan saluran nafas menjadi bengkak, seterusnya membawa maut jika tidak dirawat,” katanya.
Kebanyakan kanak-kanak akan bebas daripada sesetengah alergi apabila mereka mencapai umur persekolahan, akan tetapi ramai juga yang mengalaminya sehingga dewasa.
Menerangkan tentang risiko alergi di kalangan kanak-kanak, Dr. Saiful berkata, mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mengalami alergi berisiko tinggi untuk mengalami penyakit ini.
‘‘Sekiranya salah seorang daripada ibu atau bapa mempunyai alahan, risiko bagi bayi atau kanak-kanak akan mengalami alergi adalah anggaran 20 hingga 40 peratus.
“Selain daripada faktor genetik, si manja tetap berisiko untuk mengalami alahan iaitu lebih kurang lima hingga 15 peratus disebabkan faktor-faktor tertentu seperti sistem ketahanan badan yang tidak matang, tempoh penyusuan susu ibu yang singkat dan pendedahan awal terhadap susu formula,” katanya.
Menurutnya lagi, sekurang-kurangnya enam bulan pertama selepas kelahiran, bayi perlu mendapat penyusuan susu ibu secara eksklusif kerana susu ibu adalah susu hipoalegenik.
“Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu, ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Susu ibu juga mengandungi sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria dan antibodi (immunoglobulins) bagi menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri,” katanya.
Namun, tidak dinafikan ada juga sebab-sebab tertentu menyebabkan susu ibu tidak dapat diberi pada bayi, jadi alternatif terbaik adalah dengan memberikan bayi susu hipoalegenik (formula) bagi mengurangkan risiko alergi.
Rawatan
Kebiasaannya rawatan terhadap kanak-kanak yang mengalami alergi diberi mengikut jenis alergi.
“Sekiranya hanya gatal pada kulit dan kelihatan merah atau alahan biasa sahaja, kanak-kanak hanya akan diberi ubat anti alergi untuk dimakan dan ubat sapu.
“Namun, alergi yang agak teruk seperti sukar untuk bernafas, kemungkinan besar kanak-kanak tersebut akan ditahan di wad dan mendapat suntikan anti alergi,” katanya.
Walaupun kini terdapat rawatan yang berkesan, tetapi pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati.
Pencegahan daripada alergi di kalangan bayi dan kanak-kanak sangat penting ketika mereka di dalam kandungan ibu lagi.
‘‘Pengambilan diet yang sihat semasa mengandung dan ketika tempoh penyusuan juga amat penting bagi mencegah bayi daripada mendapat alahan,’’ katanya.
Tambah beliau, susu ibu merupakan pencegahan utama daripada alergi. Dengan memberi susu ibu sepenuhnya kepada bayi yang baru lahir semasa enam bulan pertama kelahirannya, dapat mengelakkan kanak-kanak mendapat alahan.
‘‘Memberi makanan tambahan hanya selepas enam bulan kelahiran dan memulakan makanan yang tidak mendatangkan alergi terlebih dahulu seperti nasi, lobak merah, pear, epal dan prun.
“Ini kerana alahan juga boleh disebabkan udara iaitu melalui saluran pernafasan serta perut iaitu usus yang mencerna makanan,’’ katanya.
Sementara itu, ibu bapa perlu
menjaga kebersihan persekitaran di dalam dan luar rumah bagi mengurangkan alergi kepada habuk
dan hama.
PENDAPAT
VCVFGGH

0 comments: