CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, March 13, 2008

UBAH MEKANISME KERAJAAN




Oleh NOVANDRI HASAN BASRI





Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi pengundi yang memilih BN perlu dihormati. – Gambar hiasan.
KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12 telah diketahui. Dan sepanjang minggu ini, pelbagai hipotesis, teori, analisis politik, teguran, nasihat dan kritikan telah kita dengar dan baca sama ada di media cetak serta media elektronik.
Jika kita amati, kritikan-kritikan tersebut muncul bertalu-talu dalam media cetak dan media elektronik seolah-olah berlakunya keterbukaan di dalam media-media utama. Tidak menafikan kebenaran kritikan-kritikan itu dan juga kerisauan ahli-ahli Barisan Nasional (BN) dan rakyat. Akan tetapi kelantangan sesetengah media utama itu terasa begitu signifikan sehingga menenggelamkan kredibiliti rakyat yang telah menyokong kerajaan BN.
Secara ringkas, undi protes tidak boleh diguna pakai untuk menerangkan maksud undi mereka yang telah pun menyokong pihak pembangkang dan berada di payung pembangkang selama ini. Undi protes bermaksud undi yang dulunya diberikan kepada kerajaan tetapi telah diserahkan kepada pihak lain disebabkan oleh rasa tidak puas hati, marah ataupun kecewa. Tidak hadir semasa hari mengundi dan undi rosak juga boleh dikategorikan sebagai undi protes. Maksud undi protes menjadi lebih nyata jika ahli-ahli di dalam BN itu sendiri yang memberi undi mereka kepada pihak pembangkang.
Sungguhpun kita semua tahu bahawa prestasi BN berada di tahap yang paling rendah juga disebabkan oleh protes rakyat kepada kerajaan yang sedia ada, kita perlu juga menghormati rakyat Malaysia yang mengundi BN. Realitinya, BN telah berjaya memenangi 63 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.
Seperti mana kita terpaksa menghadam segala kritikan yang menjurus kepada protes atau tidak puas hati, kini tiba masanya untuk mereka yang setia kepada BN untuk bersuara.
Perasaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi mereka yang mengundi BN perlu dihormati dan mereka itu tentu mempunyai penilaian sendiri, berfikiran panjang dan lebih rasional jika dibandingkan dengan pemprotes yang sedia ada.
Bagi mereka, apakah gunanya memilih calon pembangkang yang tidak mempunyai kredibiliti dan pengalaman berpolitik hanya sekadar kerana mahu memprotes? Pendekatan ini sebenarnya menunjukkan seorang warganegara yang tidak bijak dan tidak berfikiran panjang.
Ini adalah kerana sejarah dan juga pengalaman seharian kita telah membuktikan bahawa respons yang berlandaskan kepada perasaan marah, geram dan tidak puas hati biasanya mempunyai implikasi jangka panjang yang secara relatifnya lebih buruk. Ia menepati maksud peribahasa Melayu iaitu kerana nyamuk, kelambu dibakar.
Ironinya, salah satu daripada implikasi tersebut sudah pun berlaku di saat ini ketika kita sedang sibuk berhujah dan mencari jawapan kepada setiap persoalan yang timbul akibat pilihan raya yang lepas.
Kesamarataan
Sebagai contohnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertanggungjawab mewujudkan kesamarataan dalam kekayaan ekonomi di antara kaum-kaum dan menjadikan kaum Cina sebagai satu kuasa ekonomi dan bukannya merempat di Pulau Pinang, akan dimansuhkan oleh kerajaan baru di situ. Pastinya, topik ini akan menimbulkan perdebatan baru dalam media-media dan juga orang ramai terutamanya orang Melayu.
Memang benar bahawa sebahagian daripada rakyat mahukan pembaharuan dalam mekanisme kerangka kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan di Malaysia. Akan tetapi bagi mereka, pembaharuan itu tidak semestinya memerlukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atau menghukum kerajaan BN dengan menghadiahkan beberapa negeri kepada pembangkang.
Pada perspektif yang lain, segala persoalan dan analisis di atas telah menimbulkan satu persoalan yang perlu jawapannya iaitu apakah pemimpin-pemimpin negara telah membaca serta mengambil kira secara serius segala artikel yang sedang membincangkan pilihan raya ke-12 di media cetak dan elektronik.
Atau apakah penasihat-penasihat pemimpin negara hanya akan memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin negara tentang perkara yang menyedapkan telinga mereka sahaja?
Biar pun pahit untuk ditelan, jika ia benar-benar berlaku, satu tindakan drastik perlu dilakukan demi kesinambungan parti UMNO dan BN. Sudah tiba masanya, untuk benar-benar berubah.
Fenomena rakyat memprotes dengan menggunakan saluran pilihan raya juga boleh ditafsir sebagai berlakunya kelemahan dalam jentera kerajaan BN untuk mendengar, mengkaji dan menyelesaikan masalah rakyat.
Tidak ada kewujudan komunikasi dua hala yang telus atau signifikan di antara pentadbir dan rakyat, padahal pentadbir telah dilantik oleh rakyat untuk bekerja bagi mereka dan bukan sebaliknya. Persepsi tersebut tidak dapat dinafikan atau disembunyikan lagi kerana rakyat hari ini lebih arif dan bijak.
Seperkara lagi, BN perlu mencari jawapan kepada isu di mana sesetengah kaum begitu senang merubah arah dan bertindak menolak kerajaan BN sehinggakan pemimpin-pemimpin kaum tersebut kalah teruk dalam pilihan raya lalu.
Memang semua warganegara Malaysia mempunyai hak untuk bersuara tetapi kerapuhan serta sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sejarah negara dan keinginan untuk membantu serta memperkasakan kaum-kaum lain di Malaysia merupakan satu fenomena yang kurang sihat.
Ia juga mampu menimbulkan rasa tidak puas hati dan pergeseran di antara kaum-kaum. Penghujung kepada epilog itu biasanya tidak baik serta boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan negara Malaysia.
Pokoknya, kerajaan BN perlu menimbang, menelaah serta mencari jawapan kepada segala permasalahan yang timbul. Rakyat, sama ada pro BN, pro pembangkang dan mereka yang memprotes sudah tahu isu-isunya dan mereka sedang melihat penerimaan kerajaan BN kepada segala permasalahan tersebut.
Rakyat sedang menanti segala implementasi dan gerak kerja kerajaan BN yang bertujuan menyelesaikan segala permasalahan itu. Pengundi yang menyokong BN semestinya lebih berharap agar kepercayaan tidak berbelah bahagi mereka itu diterima dengan lebih serius dan tidak dipermain-mainkan.
BN terutamanya UMNO di Pulau Pinang mesti membuat bedah siasat dan mengadakan perjumpaan ataupun forum untuk membincangkan secara terbuka dan dengan terperinci bersama-sama ahli masing-masing.
Ahli-ahli parti BN perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk berbincang serta mencari jawapannya dan bukan hanya di peringkat kepimpinan negeri ataupun negara seperti yang dipraktiskan selama ini. Kita percaya bahawa ramai ahli parti BN hari ini yang intelek serta bijak dan mampu untuk memberikan buah fikiran yang bernas dan tidak takut untuk bersuara kerana tiada kepentingan pangkat dalam politik BN.
Hanya dengan cara ini sahaja kesilapan, kelemahan dan segala yang terbuku di dalam hati ahli-ahli BN dapat disalurkan dengan betul. Jangan pula nanti mereka ini mula mencari saluran-saluran lain untuk melepaskan kekecewaan.

0 comments: