CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, March 23, 2008

sajak: DUNIA


Dunia ini semakin tua
Meniti ke akhirat
Manusia alpa hari akan
Berakhir
Kegelapan dan kegelitaan
Menggusar hati

Kehidupan ini
Bermandikan dusta dan nista
Sesekali terkandas dikala gelagat alam
Yang meroboh iman
Dialun gelombang rasa
Nafsu yang rakus
Menjunam lembah lemaskan
Pertimbangan

Takut
Aku takut dengan gelagat manusia
Rakusnya manusia
Merobek keindahan dunia
Setinggi langit biru mimpimu
Tenggelam jauh khayalanmu
Melangkah arus moden
Dan kecanggihan yang tiada penghujung
Kauhina harumnya melur-melur desa
Kau benci akan kerendangan
Teduhan mergastua
Angkuhmu bagaikan satu bencana
Mencipta beribu kegelapan dunia.











sajak: KASIH


Kasihku pada ibu
Ibuku kekasihku
Aku bangga dikasihimu
Kasihmu buatku teruja
Engkaulah kekasih hatiku
Belaian kasihmu membimbingku
Kerana kasihmu aku terdidik
Didikanmu bukti kasihmu
Kasih kekasihku tak standing kasih ibuku
Ibuku kasih abadi
Aku rindukan kasih ibuku
Aku lemah tanpa kasihmu
Kasihku tak setaraf kasih ibuku
Ibuku kekasih sejati
Tiada kekasih setanding ibuku
Kasihi aku selamanya ibuku
Kerana kasihmu membawa aku ke syurga
Aku terdesak tanpa kasihmu
Kasihani diriku wahai ibuku
Tanpa kasihmu aku punah
























Amalan Membaca Menyuburkan Minda








Islam berasaskan kitabullah atau buku Allah s.w.t iaitu al-Quran, namun begitu, al-Quran yang merupakan wahyu tidak diturunkan sebagai kitab. Ia diturunkan sebagai pembacaan, sebab itu namanya al-Quran yang bererti pembacaan. Bermula dengan al-Quran, pelbagai jenis kitab berkembang dan bercambah kemudian merangkumi semua jenis ilmu yang difikirkan oleh ulamak dan cendekiawan Islam meliputi semua jenis ilmu, termasuk sains dan teknologi, malah kajian terhadap agama lain.
Umpamanya Al-Biruni semasa pemerintahan Moghul telah membuat kajian mendalam tentang agama Hindu. Buku-buku ini dihimpunkan untuk digunakan bagi penyelidikan dan perbahasan di kutub khonah dan perpustakaan yang ditaja oleh khalifah-khalifah. Buku-buku dan amalan pembacaan yang meluas di kalangan masyarakat Islam ketika itu telah menyuburkan minda dan meningkatkan intelek cendekiawan-cendekiawan Islam. Paling terkenal ialah Baitul Hikmah (gedung kebijaksanaan) semasa pemerintahan khalifah-khalifah Abasiyah di Baghdad. Kejatuhan Islam berlaku apabila penyerang-penyarang Moghul sampai ke baghdad, mereka membunuh ulamak dan cendekiawan, membakar perpustakaan dan mencampakkan buku-buku ke sungai Tigris hingga air sungai itu menjadi hitam diwarnai oleh dakwat.
Demikianlah pentingnya buku dan tabiat membaca ke arah pemantapan budaya ilmu. Usaha-usaha pemerintahan di negara kita menggalak, membaca dan menyemarakkan semangat membaca di kalangan rakyatberjalan secara berterusan. Usaha-usaha membudayakan tabiat membaca disokong oleh oleh pembinaan lebih banyak bangunan perpustakaan awam di bandar dan desa di seluruh negara. Alangkah baiknya kalau kerajinan membaca semasa di sekolah dan IPT diteruskan di alam berkerjaya agar tabiat membaca itu benar-benar menjadi satu amalan yang berkekalan dan sebagai suatu keseronokan sepanjang hayat! Bukankah membaca itu akan menyebabkan si pembacanya kaya dengan maklumat? Dunia pada hari ini dan pada abad-abad akan datang akan dikuasai oleh mereka-mereka yang bermaklumat. Justeru, jelas kepada kita bahawa tabiat membaca buku dan sebagainya tidak boleh diabaikan oleh umat Islam. Manfaat membaca perlu digunakan oleh umat Islam demi kepentingan dan pengukuhan syiar Islam.
Masyarakat yang mempunyai anggota-anggota yang membaca akan mampu menilai maklumat dan menyerlahkan ilmu darinya. Masyarakat inilah yang dianggap sebagai masyarakat berilmu yang menjadi manifestasi umat Islam. Jika kebanyakan kita tidak berilmu dan keadaan ini akan memudahkan kita diperlekehkan oleh mereka yang berilmu umpama kerbau ditarik hidung. Jika kita umat Islam membaca dan mendapat ilmu, maka kita akan terselamat daripada musuh-musuh Islam yang menyebarkan dakyah-dakyah palsu yang sesat lagi menyesatkan. Atas sebab itu persepakatan atau persaudaraan umat Islam yang dibina di atas asas akidah dan keimanan kepada Allah adalah taklif atau bebanan tanggungjawab yang sewajarnya dipikul bersama.

Sunday, March 16, 2008

MASA UNTUK UMAT ISLAM BERSATU


Oleh: MOHD SHAUKI ABD MAJID




KETIKA ini rakyat di pelbagai peringkat masih hangat membicarakan mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12. Bukanlah hajat penulis untuk turut serta berpolemik dengan pelbagai andaian dan analisis pilihan raya yang kadangkala tidak membawa apa-apa makna.
Apa yang jelas atas dasar apa sekalipun sentimen pemilihan kepemimpinan dalam pilihan raya kali ini, rakyat telah pun melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh kesedaran. Namun apa yang lebih mustahak, dalam mendepani realiti yang wujud selepas keputusan diumumkan, umat harus kekal rasional dengan meletakkan kepentingan agama dan bangsa sebagai keutamaan.
Bagi umat Islam, inilah masanya kita kembali memperapat dan memperteguhkan saf selepas saling berselisihan dan berlawanan terutamanya dalam upaya menonjolkan pemimpin pilihan melalui kepelbagaian parti-parti politik yang bertanding. Keghairahan berkempen tidak wajar melarat-larat selepas selesainya pilihan raya sehingga umat berterusan terheret dalam sentimen dendam dan benci.
Berbeza parti bukannya berbeza dari segi akidah. Berbeza parti bukannya berbeza tahap keimanan dan keislaman seseorang. Sebaliknya berbeza parti hanyalah bersifat ijtihadi dan khilafiah yang dibenarkan syarak dalam menentukan parti mana yang berkemampuan mentadbir urusan umat dengan lebih berkesan.
Memang Islam tidak pernah menghalang perselisihan dan perbezaan dalam menentukan kepemimpinan. Malah ulama tersohor Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Min Fiqhi Daulah Fil Islam, jelas menyebutkan bahawa berbilangnya parti atau jamaah yang memperjuangkan Islam adalah tidak dilarang selagi kesatuan tidak mampu dicapai rentetan daripada berlainan matlamat, pendekatan, fahaman dan juga berlainan perwatakan antara satu sama lain.
Namun, penegasan turut dibuat beliau bahawa apabila menghadapi situasi yang mencabar kepentingan Islam, aqidah Islam, syariat Islam dan juga umat Islam, semua ahli daripada pelbagai parti wajib bersatu dan berdiri dalam satu barisan.
Sebab itulah dalam keghairahan berpolitik dan berparti, umat harus tahu sempadan dan batasannya. Keseronokan berpolitik dan berparti jangan sampai menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Malah perbezaan parti dalam sistem demokrasi tidak wajar melarat-larat sehingga mencetuskan permusuhan emosi yang mencairkan kekentalan ukhuwah, memecah kesepaduan umah dan menghancurkan prinsip keadilan dan kebenaran.
Harus
Umat harus sentiasa saling berbaik sangka dan bermaafan di antara satu sama lain, bukannya saling menuduh orang lain sesat, berdosa mahupun kafir. Perselisihan seperti inilah yang dibenarkan kerana ia tidak akan membawa kepada perpecahan dan permusuhan emosi yang membinasakan. Perbezaan parti atas dasar Islam sejati ini juga tidak akan menjadikan umat berpuak-puak yang sentiasa menghidu peluang dan ruang untuk menghentam satu sama lain.
Setiap kumpulan berhak mengutarakan pendapatnya selagi mana dia mempunyai hujah yang kuat juga penyokong yang berada di belakangnya. Apa yang wajar disanggah adalah budaya politik asabiah yang meletakkan ketaatan melulu dan taksub buta kepada parti hingga terhalangnya pertimbangan adil dalam membuat keputusan. Memberikan kesucian kepada sesetengah pemimpin seolah-olah mereka adalah nabi jugalah yang selalunya menjadi punca pergolakan dan perpecahan sesama sendiri.
Dalam konteks ini Allah jelas menegaskan: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. (Al-Maidah:8)
Justeru sudah tiba masanya dilakukan usaha bersepadu ke arah melakar dimensi baru budaya berpolitik dalam masyarakat Malaysia hari ini. Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan usaha pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadannya di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua bentuk percaturan.
Pendekatan politik baru ini haruslah melangkaui kepentingan politik kepartian yang berlandaskan asabiah jahiliah dan retorik semangat membuta tuli. Pendekatan politik juga tidak harus terus terjerat dengan serakah dendam dan benci. Pendekatan politik baru wajib mengetepikan unsur-unsur fitnah dan adu domba demi kepentingan agama yang lebih murni.
Sebaliknya budaya politik baru adalah budaya politik yang berteraskan prinsip dan akhlak Islam yang menjunjung tinggi nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan saling berlapang dada antara satu sama lain. Apabila melibatkan kepentingan bangsa dan agama, umat wajib bersepakat dan bersatu tanpa mengira parti mahupun ideologi politik.
Inilah budaya politik yang wajar dimartabatkan dalam kerangka kepartian kini. Apa yang penting, umat harus dipasakkan di dalam minda agar meletakkan agama lebih tinggi di atas segala kepentingan dan matlamat mana-mana parti. Hakikatnya, kekuatan tamadun tidak selamanya mampu berdiri kukuh sekiranya sesuatu bangsa itu sudah hilang jati diri dan idealisme perjuangan lantaran pergeseran dan percaturan politik sempit yang tidak berkesudahan.

Thursday, March 13, 2008

UBAH MEKANISME KERAJAAN




Oleh NOVANDRI HASAN BASRI





Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi pengundi yang memilih BN perlu dihormati. – Gambar hiasan.
KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12 telah diketahui. Dan sepanjang minggu ini, pelbagai hipotesis, teori, analisis politik, teguran, nasihat dan kritikan telah kita dengar dan baca sama ada di media cetak serta media elektronik.
Jika kita amati, kritikan-kritikan tersebut muncul bertalu-talu dalam media cetak dan media elektronik seolah-olah berlakunya keterbukaan di dalam media-media utama. Tidak menafikan kebenaran kritikan-kritikan itu dan juga kerisauan ahli-ahli Barisan Nasional (BN) dan rakyat. Akan tetapi kelantangan sesetengah media utama itu terasa begitu signifikan sehingga menenggelamkan kredibiliti rakyat yang telah menyokong kerajaan BN.
Secara ringkas, undi protes tidak boleh diguna pakai untuk menerangkan maksud undi mereka yang telah pun menyokong pihak pembangkang dan berada di payung pembangkang selama ini. Undi protes bermaksud undi yang dulunya diberikan kepada kerajaan tetapi telah diserahkan kepada pihak lain disebabkan oleh rasa tidak puas hati, marah ataupun kecewa. Tidak hadir semasa hari mengundi dan undi rosak juga boleh dikategorikan sebagai undi protes. Maksud undi protes menjadi lebih nyata jika ahli-ahli di dalam BN itu sendiri yang memberi undi mereka kepada pihak pembangkang.
Sungguhpun kita semua tahu bahawa prestasi BN berada di tahap yang paling rendah juga disebabkan oleh protes rakyat kepada kerajaan yang sedia ada, kita perlu juga menghormati rakyat Malaysia yang mengundi BN. Realitinya, BN telah berjaya memenangi 63 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.
Seperti mana kita terpaksa menghadam segala kritikan yang menjurus kepada protes atau tidak puas hati, kini tiba masanya untuk mereka yang setia kepada BN untuk bersuara.
Perasaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi mereka yang mengundi BN perlu dihormati dan mereka itu tentu mempunyai penilaian sendiri, berfikiran panjang dan lebih rasional jika dibandingkan dengan pemprotes yang sedia ada.
Bagi mereka, apakah gunanya memilih calon pembangkang yang tidak mempunyai kredibiliti dan pengalaman berpolitik hanya sekadar kerana mahu memprotes? Pendekatan ini sebenarnya menunjukkan seorang warganegara yang tidak bijak dan tidak berfikiran panjang.
Ini adalah kerana sejarah dan juga pengalaman seharian kita telah membuktikan bahawa respons yang berlandaskan kepada perasaan marah, geram dan tidak puas hati biasanya mempunyai implikasi jangka panjang yang secara relatifnya lebih buruk. Ia menepati maksud peribahasa Melayu iaitu kerana nyamuk, kelambu dibakar.
Ironinya, salah satu daripada implikasi tersebut sudah pun berlaku di saat ini ketika kita sedang sibuk berhujah dan mencari jawapan kepada setiap persoalan yang timbul akibat pilihan raya yang lepas.
Kesamarataan
Sebagai contohnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertanggungjawab mewujudkan kesamarataan dalam kekayaan ekonomi di antara kaum-kaum dan menjadikan kaum Cina sebagai satu kuasa ekonomi dan bukannya merempat di Pulau Pinang, akan dimansuhkan oleh kerajaan baru di situ. Pastinya, topik ini akan menimbulkan perdebatan baru dalam media-media dan juga orang ramai terutamanya orang Melayu.
Memang benar bahawa sebahagian daripada rakyat mahukan pembaharuan dalam mekanisme kerangka kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan di Malaysia. Akan tetapi bagi mereka, pembaharuan itu tidak semestinya memerlukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atau menghukum kerajaan BN dengan menghadiahkan beberapa negeri kepada pembangkang.
Pada perspektif yang lain, segala persoalan dan analisis di atas telah menimbulkan satu persoalan yang perlu jawapannya iaitu apakah pemimpin-pemimpin negara telah membaca serta mengambil kira secara serius segala artikel yang sedang membincangkan pilihan raya ke-12 di media cetak dan elektronik.
Atau apakah penasihat-penasihat pemimpin negara hanya akan memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin negara tentang perkara yang menyedapkan telinga mereka sahaja?
Biar pun pahit untuk ditelan, jika ia benar-benar berlaku, satu tindakan drastik perlu dilakukan demi kesinambungan parti UMNO dan BN. Sudah tiba masanya, untuk benar-benar berubah.
Fenomena rakyat memprotes dengan menggunakan saluran pilihan raya juga boleh ditafsir sebagai berlakunya kelemahan dalam jentera kerajaan BN untuk mendengar, mengkaji dan menyelesaikan masalah rakyat.
Tidak ada kewujudan komunikasi dua hala yang telus atau signifikan di antara pentadbir dan rakyat, padahal pentadbir telah dilantik oleh rakyat untuk bekerja bagi mereka dan bukan sebaliknya. Persepsi tersebut tidak dapat dinafikan atau disembunyikan lagi kerana rakyat hari ini lebih arif dan bijak.
Seperkara lagi, BN perlu mencari jawapan kepada isu di mana sesetengah kaum begitu senang merubah arah dan bertindak menolak kerajaan BN sehinggakan pemimpin-pemimpin kaum tersebut kalah teruk dalam pilihan raya lalu.
Memang semua warganegara Malaysia mempunyai hak untuk bersuara tetapi kerapuhan serta sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sejarah negara dan keinginan untuk membantu serta memperkasakan kaum-kaum lain di Malaysia merupakan satu fenomena yang kurang sihat.
Ia juga mampu menimbulkan rasa tidak puas hati dan pergeseran di antara kaum-kaum. Penghujung kepada epilog itu biasanya tidak baik serta boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan negara Malaysia.
Pokoknya, kerajaan BN perlu menimbang, menelaah serta mencari jawapan kepada segala permasalahan yang timbul. Rakyat, sama ada pro BN, pro pembangkang dan mereka yang memprotes sudah tahu isu-isunya dan mereka sedang melihat penerimaan kerajaan BN kepada segala permasalahan tersebut.
Rakyat sedang menanti segala implementasi dan gerak kerja kerajaan BN yang bertujuan menyelesaikan segala permasalahan itu. Pengundi yang menyokong BN semestinya lebih berharap agar kepercayaan tidak berbelah bahagi mereka itu diterima dengan lebih serius dan tidak dipermain-mainkan.
BN terutamanya UMNO di Pulau Pinang mesti membuat bedah siasat dan mengadakan perjumpaan ataupun forum untuk membincangkan secara terbuka dan dengan terperinci bersama-sama ahli masing-masing.
Ahli-ahli parti BN perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk berbincang serta mencari jawapannya dan bukan hanya di peringkat kepimpinan negeri ataupun negara seperti yang dipraktiskan selama ini. Kita percaya bahawa ramai ahli parti BN hari ini yang intelek serta bijak dan mampu untuk memberikan buah fikiran yang bernas dan tidak takut untuk bersuara kerana tiada kepentingan pangkat dalam politik BN.
Hanya dengan cara ini sahaja kesilapan, kelemahan dan segala yang terbuku di dalam hati ahli-ahli BN dapat disalurkan dengan betul. Jangan pula nanti mereka ini mula mencari saluran-saluran lain untuk melepaskan kekecewaan.

BANYAK SUBJEK BUKAN SATU BEBANAN - AZALI

Datuk Seri Hisyamudin amat berpuas hati dengan pencapaian keputusan SPM

AZALI di samping ibu bapanya, Rozita dan Azlan Othman pada majlis pengumuman pelajar cemerlang SPM di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA - Mengambil 21 mata pelajaran dan seterusnya mendapat keputusan 20 1A, 1 2A, membuatkan pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007, Azali Azlan, 18, berjaya mencipta rekod baru pendidikan negara.
Formulanya, dia tidak pernah rasa terbeban dengan setiap subjek yang dipilih dan menganggapnya satu kepuasan diri.
"Saya tak pernah menyesal dengan keputusan yang diambil dan keputusan cemerlang ini hasil kerja keras saya.
"Resipi kejayaan saya biasa saja. Saya belajar seperti biasa dan tidak ada istilah belajar ikut jadual kerana itu hanya buat saya tertekan," kata anak pasangan guru ini yang ditemui selepas pengumuman keputu- san SPM di sini semalam.
Selain itu, berpuasa dan menjadi- kan amalan memakan kurma, meminum madu serta susu sepanjang menduduki peperiksaan menjadi amalan Azali dan sudah lama ia dipraktikkan di sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan, Kedah.
Sementara itu, ibunya, Rozita Sanapi, 46, mengakui pada mulanya, beliau bimbang apabila diberitahu anaknya yang mahu mengambil 21 subjek dalam SPM.
"Sokong tidak, larang pun tidak. Ada pro dan ada kontra. Tapi dalam masa yang sama saya percaya dia mampu lakukan," kata- nya yang bertugas sebagai guru di SMK Dato' Haji Ahmad Badawi di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Azali yang mendapati 2A bagi subjek Bahasa Inggeris dalam Sains dan Teknologi ini bercita-cita menjadi seorang profesor dalam bidang genetik dan pemegang Anugerah Nilam Kebangsaan tahu n lepas.
Seorang lagi pelajar cemerlang iaitu 16 1A ialah Quek Khai Ren, 18, dari SMK Hwa Lian, Mentakab, Pahang.
Anak kedua daripada empat adik- beradik itu memberitahu, tujuan asalnya memilih 16 subjek ialah kerana sebelum ini pernah mengunju- ngi pameran pendidikan dan mendapati biasiswa bagi pengajian di kolej mudah untuk didapati sekira- nya mendapat keputusan lebih dari- pada 11 1A.
"Dari situlah saya buat keputusan ambil 16 subjek dan dalam masa yang sama, saya terfikir yuran kolej swasta sangat mahal dan saya mempunyai adik-adik lain.
"Bagi saya, kepuasan belajar adalah dengan menggunakan biasiswa yang diterima dan bapa boleh terus- kan tanggungjawabnya menyara adik-adik yang lain," ujarnya yang bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran di United Kingdom atau Amerika Syarikat.
Selain Azali dan Khai Ren, seorang lagi pelajar cemerlang yang cacat penglihatan, Loh Wei Song, 17, juga berjaya memperoleh keputusan 6 1A, 2 2A.
Bagaimanapun, dia yang berseko- lah di SMK Baru Lintang, Sarawak tidak hadir.
Pada majlis yang sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimud- din Mohd. Dom berkata, seramai 6,247 orang calon SPM 2007 berjaya dengan cemerlang apabila memperoleh gred A dalam semua subjek yang diduduki berbanding 5,685 orang calon pada 2006.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 5,060 atau 81 peratus merupakan calon sekolah kerajaan berbanding tahun 2006 seramai 4,311 atau 75.8 peratus dan berlaku peningkatan sebanyak 5.2 peratus.

GANGGUAN EMOSI BOLEH SEBABKAN RAMBUT GUGUR

Oleh Halina Mohd Noor

KAEDAH TERKINI: Neeta menunjukkan cara mengurut kulit kepala bagi merangsang peredaran darah.
Kenal pasti punca sebelum memilih rawatan bersesuaian untuk peroleh 'mahkota' impian TEKANAN perasaan atau jiwa dikenal pasti menjadi antara punca utama masalah keguguran rambut berbanding akibat penggunaan kimia berlebihan yang banyak dijual di pasaran. Masalah keguguran rambut hasil tekanan jiwa membabitkan purata jumlah yang sama antara lelaki mahupun wanita. Insiden berkaitan keguguran rambut dengan tekanan jiwa ini kerap ditemui di kalangan pengunjung yang ingin mendapatkan pelbagai rawatan masalah rambut di pusat penjagaan rambut Neeta’s Herba, syarikat tempatan yang menyediakan khidmat memulihkan masalah rambut di dalam dan luar negara.
Peneraju Neeta’s Herba, Neeta Gosalia, berkata lebih kurang 60 peratus pelanggannya tidak kira di negara ini mahupun di luar negara mengalami keguguran rambut akibat masalah tekanan seperti runsing, tidak cukup tidur serta diet tidak seimbang. Tekanan jiwa yang dialami lazimnya tidak begitu serius seperti masalah keluarga, kemurungan atau membabitkan percintaan. Ada juga yang mengalami trauma akibat kejadian ngeri seperti kemalangan atau kematian orang tersayang. “Tekanan tanpa disedari mendorong individu melakukan tabiat pelik seperti mencabut rambut di kepala sehingga menyebabkan sebahagian besar kepala menjadi botak. Tekanan juga mendorong kepada masalah sukar tidur dan corak pemakanan tidak seimbang yang boleh mendatangkan masalah pada rambut.
“Ada pelanggan yang mengalami kemurungan akibat kematian orang tersayang dan mula mencabut rambutnya sehingga menampakkan kulit kepala tanpa disedari,” katanya. Beliau berkata, sebelum seseorang pelanggan menjalani rawatan di salun berkenaan, ahli terapi biasanya terlebih dulu mengambil latar belakang mereka seperti keturunan, hormon yang tidak seimbang atau penggunaan bahan kimia keterlaluan bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi. Seterusnya pelanggan akan diberikan rawatan bersesuaian mengikut tahap permasalahan. “Sekiranya masalah sebenar berpunca daripada tekanan jiwa, pelanggan perlu menjalani sesi kaunseling terlebih dulu kerana ia adalah akar umbi kepada kejayaan rawatan yang bakal dijalani. Jika masalah sebenar tidak diatasi, ia akan berulang walaupun kita mampu memberikan rawatan bagi menumbuhkan semula rambut. “Antara kaunseling yang diberikan ialah dengan menasihatkan pelanggan menjalani gaya hidup sihat seperti banyakkan bersenam kerana berpeluh dapat menenangkan fikiran,” katanya.
Selain bersenam, pengambilan makanan seimbang juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah berkaitan rambut. Justeru, pelanggan diberikan panduan mengenai diet sihat seperti makan lebih banyak buah-buahan dan sayuran segar. Minuman berkarbon seperti air gas dan kopi boleh memburukkan masalah rambut gugur. Minuman itu perlu dielakkan dan kalau boleh minum air kosong lebih banyak atau air yang boleh menyejukkan badan seperti barli, kacang soya atau kelapa. “Rambut yang sihat mengalami keguguran antara 30 hingga 120 helai setiap hari, tetapi jumlah ini diganti semula. Bagaimanapun, rambut yang bermasalah gugur lebih banyak daripada jumlah ini dan tidak mempunyai anak rambut sebagai gantian kepada rambut yang gugur,” katanya. Katanya keguguran rambut terutama di kalangan remaja pula adalah disebabkan penggunaan bahan kimia yang keterlaluan seperti mouse, semburan rambut mahupun pewarna. Penggunaan kimia dalam proses memutihkan rambut sebelum mewarnakannya juga adalah antara faktor menyumbang kepada struktur rambut lemah dan mudah gugur. “Rambut yang strukturnya lebih halus lebih mudah rosak akibat aktiviti mengerinting rambut dan teknik meluruskannya. Bagaimanapun, ramai remaja tidak menghiraukan kesannya demi untuk cantik dan mengikut aliran gaya rambut semasa. Mereka dinasihatkan agar mengetahui terlebih dulu keadaan rambut mereka sebelum menggunakan sebarang kimia atau teknik bagi mendapatkan gaya rambut diidamkan. “Misalnya, jika jumlah rambut mereka terlalu sedikit, sebaiknya jangan kerintingkan rambut kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan dan merosakkan rambut. Sekiranya ingin mewarnakan rambut, pastikan anda sering melakukan rawatan rambut atau segera berjumpa pakar apabila rambut kelihatan gugur terlalu banyak,” katanya. Bagi mengekalkan rambut sihat, Neeta menasihatkan agar mengamalkan menyapu minyak rambut lebih kerap dengan menggunakan minyak asli seperti minyak kelapa selain menjalani rawatan rambut secara tetap. Diet seimbang serta ketenangan jiwa juga mempengaruhi rambut lebih sihat dan bersinar. Neeta’s Herba yang baru-baru ini memenangi anugerah Jenama Terbaik hasil penggunaan herba semula jadi daripada The Brand Laureate, menawarkan rawatan masalah rambut seperti keguguran rambut, kelemumur, botak bertompok dan gatal kulit kepala. Menggunakan herba tradisional mengandungi daun pudina, cermai, herba bhrami shiikakai, kunyit, buah kurma, kayu cendana dan pati serbuk sejenis siput, produk Neeta’s Herba didatangkan dalam bentuk syampu, tonik dan minyak rambut. “Peluang untuk pulih adalah tinggi iaitu antara 70 hingga 78 peratus, tetapi ini bergantung kepada diri pelanggan sendiri. Jika mereka rajin, proses pemulihan boleh berlaku lebih cepat iaitu antara dua setengah hingga tiga bulan. Bagi kes yang lebih serius seperti trauma, mungkin memakan masa sehingga satu setengah tahun untuk membolehkan rambut tumbuh dan panjang. “Selain rawatan di pusat ini seperti menggunakan teknik urutan menggunakan alat khas untuk melancarkan peredaran darah pada kulit kepala, pelanggan juga boleh melakukannya sendiri di rumah menggunakan produk kami,” katanya. Rawatan bermula pada harga RM300 bagi masalah yang tidak begitu ketara. Manakala bagi masalah serius, harga bermula daripada RM500 hingga RM1,400. Neeta’s Herba boleh dikunjungi di Jalan Maarof, Bangsar dan cawangan di sekitar Lembah Klang. Ia turut mempunyai cawangan di luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Dubai dan Belanda. INFO: Panduan menjaga rambut
Kerap minyakkan rambut terutama menggunakan minyak asli seperti minyak kelapa.
Minum minuman sejuk seperti air barli dan kacang soya berbanding minuman bergas atau kopi.
Lakukan senaman secara tetap bagi menghilangkan tekanan.
Lakukan rawatan wap rambut bagi membuka liang untuk membolehkan rambut baru tumbuh.
Elakkan terlalu kerap mewarna rambut mahupun penggunaan produk berasaskan kimia.
Gunting rambut secara tetap bagi menggalakkan rambut tumbuh lebih lebat.